Ujian Itu
Hadiah Dari Allah
Ujian Dari Allah Buat Hambanya
Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia juga terus berjalan pantas
seiring dengan masa yang pantas berlari. Di celah-celah hari
berwarna-warni yang di jalani dan ditelusuri, tanpa disedari
atau tidak, manusia sebenarnya telahpun menempuh pelbagai ujian dan
dugaan duniawi. Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih
berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah
berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya
olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung
dosa kejahatan yang dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
ALLAH telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak
akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. ALLAH
mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu ALLAH
memberikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa
sayang dan kasihnya ALLAH kepada kita sebagai hambaNya. ALLAH menguji seseorang
bukan kerana ALLAH benci kepada kita tetapi percayalah ALLAH menguji kita
kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya, adakala tidak
mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Hakikatnya saat ini, saat kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta
manusia di luar sana yang sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita.
Ada di kalangan manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan
kehilangan orang tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila
apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.
“ Kenapa aku yang diuji ? “
“ Mengapa aku diuji sebegini ?”
“ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…”
Mungkin ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau
berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan secebis
ujian. Kadangkala tanpa sedar dan niat kita juga terlanjur
marah pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.
Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan bermuhasabah kembali,
tenyata sebenarnya dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung .
Mengapa saya katakan begitu? Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada
hamba-hambanya yang terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya.
Dan jangan kita lupa bersama ujian itu juga ada pertolongan dari Allah
sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal
belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada
orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya)
pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ( Al-Baqarah:
214)
Sebagai manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah
ujian itu akan muncul tiba. Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah
kudrat kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak
ujian-ujian yang bakal menyapa itu. Jika direnungkan kembali, kita semua
pastinya pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian
itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan
memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?
Manusia itu sifatnya pelupa, Ada masanya dalam melayari kehidupan di
dunia, kita lalai dan leka pada hakikat yang nyata bahwa kita hanyalah hamba
DIA yang Esa. Jadi apakah sebenarnya yang mampu membangkitkan manusia dari
kelalaian dan kealpaan ini? UJIAN. Ya, Ujian. Ujian atau mehnah yang menjengah
dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang mampu mengejutkan kita dari mimpi
dunia yang panjang.
Allah Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan
yang dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba
yang hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya
adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah bertujuan untuk menilai sejauh mana
keimanan kita terhadapNya sepertimana yang dijelaskannya di dalam Al-Quran:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-Ankabut: 2)
Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala
prasangka buruk yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita diuji.
Inilah saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca, merubah fikiran
kita dan mula memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui sebagai
sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita
benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang
bersyukur dengan segala ujian yang diberi.